corporate@um.edu.my                   

12 MAHASISWA OKU UM CIPTA SEJARAH, TEMBUS SEMPADAN GLOBAL


Buat pertama kalinya, seramai 12 mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dari Universiti Malaya melakar sejarah dengan menyertai Program Mobiliti Outbound Jangka Pendek INCLUDE Siri I (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence) di Universitas Multimedia Nusantara, Indonesia.

Lebih daripada sekadar program mobiliti, INCLUDE muncul sebagai titik perubahan dan membuka lembaran baharu dalam pendidikan inklusif apabila ia direka khusus untuk mahasiswa OKU. Sepanjang lima hari yang penuh bermakna (5 hingga 9 Mei 2026), para peserta menyelami pengalaman pembelajaran berasaskan deria yang unik dan mendalam, merangkumi bengkel masakan, kraftangan tradisional, sesi podcast bersama Fakulti Ilmu Komunikasi UMN, serta pengalaman eksklusif “Bioskop Bisik”.

Program ini bukan sekadar perjalanan ke luar negara, ia adalah perjalanan melangkaui batas diri. Dengan penyertaan pelajar OKU penglihatan daripada pelbagai latar keupayaan, INCLUDE membuka ruang untuk mereka meneroka dunia baharu, membina keyakinan dalam suasana antarabangsa, dan mengasah kemahiran global secara inklusif. Sokongan rakan “buddies” serta pegawai pengiring turut memastikan setiap detik pengalaman ini inklusif, selamat dan bermakna.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti interaktif yang merangsang deria daripada “sensory play” menggunakan herba dan rempah Indonesia, kelas memasak, seni terapi, hingga ke sesi podcast yang memberi suara kepada perspektif mereka. Pengalaman “bioskop bisik” pula menjadi kemuncak unik, membawa dimensi baharu kepada dunia sinematik bagi peserta OKU penglihatan. Aktiviti budaya seperti anyaman pandan dan permainan tradisional turut memperkayakan pengalaman silang budaya mereka.

Menurut Naib Canselor UM, Noor Azuan Abu Osman, program INCLUDE mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa mahasiswa OKU, sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global. Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar sebuah program, tetapi langkah awal ke arah masa depan pendidikan yang lebih inklusif dan saksama.

Menurut Puan Rafiza Hashim, Pengarah Pusat Mobiliti Global (GMC), pelaksanaan program INCLUDE ini selaras dengan hasrat Universiti Malaya untuk memastikan setiap pelajar Ijazah Pertama berpeluang mengikuti program mobiliti outbound sekurang-kurangnya sekali sepanjang pengajian. Inisiatif ini turut membuktikan bahawa pelajar OKU diberikan peluang yang setara dengan pelajar lain

Program ini terhasil daripada kerjasama strategik antara dua portfolio iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang menyaksikan Pusat Mobiliti Global (GMC) selaku penganjur utama bersama Pusat Kaunseling & Disabiliti (CCDE), Kolej Kediaman 7, serta ASEAN University Network–Disability and Public Policy Network (AUN-DPPNet). Usaha bersama ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak mengenal sempadan, dan peluang tanpa ragu adalah hak semua.

Last Update: May 06, 2026