corporate@um.edu.my                   

LEBIH 6,000 WAJAH BAHARU WARNAI KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

Universiti Malaya (UM) menerima seramai 6,235 pelajar baharu yang akan memulakan pengajian di peringkat Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2026/2027.

Kehadiran pelajar baharu ini menandakan bermulanya satu lagi fasa perjalanan akademik mereka di UM, selain mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti serta pengalaman pembelajaran yang holistik kepada generasi mahasiswa.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, UM WOW bukan sekadar sebuah program orientasi, malah menjadi titik permulaan yang memperkenalkan para pelajar baharu kepada budaya kecemerlangan Universiti Malaya serta nilai dan aspirasi yang membentuk kehidupan mereka sepanjang berada di universiti.

Beliau berkata, pengalaman di UM perlu melangkaui bilik kuliah dan pencapaian akademik, sebaliknya menjadi ruang untuk para pelajar meneroka potensi diri, membina keyakinan serta mengembangkan pemikiran melalui pengalaman, cabaran dan interaksi dengan komuniti universiti.

“Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu. Ini merupakan isyarat pertama kepada anda bahawa anda kini menjadi sebahagian daripada sebuah universiti yang dibentuk berlandaskan disiplin, keberanian dan harapan yang tinggi.

“Di Universiti Malaya, kami bukan sekadar mengalu-alukan anda memasuki bilik kuliah, malah menyambut anda ke dalam sebuah budaya yang mencabar anda untuk berfikir dengan lebih mendalam, membina jati diri yang lebih kukuh serta menyumbang kepada masyarakat dengan penuh tujuan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan di universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut bergantung pada nilai, sahsiah dan kesediaan untuk menggunakan ilmu serta peluang yang diperoleh bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Di sinilah potensi perlu diuji, keyakinan diri perlu dibina dan cita-cita perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah. Universiti Malaya bersedia membentuk anda bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah menjadi pemimpin yang berintegriti, berbakti kepada masyarakat serta mampu memberikan impak yang bermakna. Selamat datang ke Universiti Malaya,” katanya.

Sementara itu, Puan Yasotha berasa amat bangga dan sebak melihat anak lelakinya, Thavaeswarar Balasubramaniam, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Kecerdasan Buatan) di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, yang hadir untuk pendaftaran pelajar baharu pada hari ini.

Puan Yasotha dan Thavaeswarar Balasubramaniam bersama keluarga.

“Gembira, sangat gembira. Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya berharap dia dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk masa depan dia,” tambahnya lagi.

Thavaeswarar kemudiannya menambah bahawa tujuan utamanya memilih UM adalah kerana universiti tersebut merupakan institusi nombor satu di Malaysia dan nombor 56 dunia.

“Kursus saya di dalam kecerdasan buatan adalah antara yang paling popular dan saya juga berasa teruja untuk menerokai culture yang ada di sini yang berbilang kaum dan saya ingin mengikut serta segala aktiviti dan kelab yang ada di sini,” kata pelajar berumur 21 tahun itu.

Bagi Muhammad Ameer pula, pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, beliau berasa amat teruja untuk memulakan pengajian di Universiti Malaya kerana ia merupakan alma mater ibunya dan juga tempat abangnya sendiri, Muhammad Ammar, melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Muhammad Ameer bersama keluarga.

“Impian yang ingin saya capai adalah untuk menghabiskan pelajaran on time, nak dekan setiap semester dan menjadi seorang pelajar yang aktif, dapat menyumbang kepada kolej, universiti, ibu bapa, masyarakat dan juga negara,” kata pemegang biasiswa Program Tajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) itu.

Puan Jasni binti Jamaludin, ibu kepada Nur Afrina Batrisyia binti Mohd Rahmat yang juga merupakan alumni UM, meluahkan rasa bangga terhadap semangat, usaha keras dan kematangan yang ditunjukkan oleh anaknya.

Puan Jasni binti Jamaludin bersama anak perempuannya, Nur Afrina Batrisyia binti Mohd Rahmat dan keluarga

“Walaupun berdepan dengan tekanan belajar dan pelbagai cabaran sebelum ini, dia tetap fokus, konsisten dan berjaya menguruskan masa. Dia bukan sahaja seorang yang rajin berusaha, tetapi juga memiliki peribadi yang merendah diri dan sentiasa menghormati orang lain,” katanya.

Nur Afrina Batrisyia binti Mohd Rahmat, pelajar baharu jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, memilih UM kerana universiti ini bukan sahaja gah dengan kedudukannya dalam ranking universiti terbaik dunia, malah merupakan sebuah institusi yang melahirkan pemikir hebat serta mempunyai rekod kecemerlangan akademik yang terbukti di peringkat global.

“Tambahan pula, ibu saya juga merupakan alumni Universiti Malaya. Oleh sebab itulah, UM menjadi pilihan utama saya,” kata pelajar itu.

Tahun ini, Universiti Malaya dengan penuh bangga menyambut ulang tahun ke-121 penubuhannya. UM121 bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian yang telah dibina selama lebih satu abad, tetapi juga melambangkan komitmen kami untuk terus memimpin dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan khidmat kepada masyarakat.

Last Update: Oct 06, 2026