corporate@um.edu.my                   

PERKUKUH ASAS SAINTIFIK MINDTROPIC, ESKAYVIE JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN UNIVERSITI MALAYA

Barisan pengurusan Universiti Malaya (UM) dan Eskayvie merakamkan kenangan bersama sebagai simbolik jalinan kerjasama penyelidikan.

Eskayvie Sdn Bhd memperluas usaha penyelidikan dan inovasinya menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Malaya (UM) bagi menjalankan kajian klinikal terhadap Mindtropic, produk nutrisi minda keluaran Eskayvie. 

Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan formulasi lengkap Mindtropic dalam beberapa aspek utama, termasuk prestasi kognitif, daya tahan terhadap tekanan, fungsi sistem saraf autonomi dan kualiti tidur. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Eskayvie untuk memperkukuh asas saintifik produknya, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk kesihatan tempatan. 

Majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) berlangsung di Canseleri Universiti Malaya, dengan UM diwakili oleh Naib Canselor, Professor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, manakala Eskayvie diwakili oleh Pengarah Urusan, Datin Dr Kartika Wati Mohamed. 

Naib Canselor, Professor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidikan & Inovasi Eskayvie, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri, Duta Eskayvie, Datuk Aznil Haji Nawawi, barisan penyelidik serta wakil daripada kedua-dua organisasi. 

Menurut Datin Dr Kartika, selepas 17 tahun membangunkan Eskayvie, syarikat itu mahu terus meningkatkan mutu produknya dengan menjadikan penyelidikan sebagai antara keutamaan dalam pembangunan dan inovasi. 

“Kepercayaan pengguna terhadap Mindtropic mendorong kami untuk terus melangkah lebih jauh dalam penyelidikan dan inovasi. Melalui kerjasama dengan Universiti Malaya, kami mahu menilai formulasi lengkap Mindtropic secara klinikal bagi mendapatkan bukti saintifik yang lebih menyeluruh tentang keberkesanannya. 

“Bagi kami, kepercayaan itu datang bersama tanggungjawab untuk terus mengutamakan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk. Kami berharap kerjasama ini turut membuka peluang kepada lebih banyak penyelidikan dan penerbitan saintifik pada masa hadapan,” katanya. 

Kajian klinikal Mindtropic akan dijalankan bersama Clinical Investigation Centre (CIC), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan penglibatan pasukan penyelidik UM. Kajian tersebut akan dilaksanakan mengikut protokol yang diluluskan serta piawaian penyelidikan klinikal yang ditetapkan.

Sementara itu, Datuk Dr Syid Ayob menjelaskan bahawa pembangunan Mindtropic mengambil kira hubungan antara fungsi kognitif, tindak balas terhadap tekanan dan kualiti tidur yang mempengaruhi prestasi minda seseorang. 

“Mindtropic dirumuskan dengan gabungan bahan yang dipilih berdasarkan fungsi dan rasional saintifik masing-masing. Dalam menilai prestasi minda, kita bukan sahaja melihat fokus dan daya ingatan, tetapi juga keupayaan seseorang menghadapi tekanan serta mendapatkan tidur yang berkualiti. 

“Setiap bahan mempunyai asas penyelidikannya tersendiri. Melalui kajian klinikal ini, kami mahu melangkah lebih jauh dengan menilai keberkesanan gabungan bahan tersebut sebagai satu formulasi lengkap. Dapatan kajian ini diharapkan dapat menjadi asas kepada penyelidikan dan inovasi produk kami pada masa hadapan,” katanya. 

Bagi pihak Universiti Malaya, Professor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata: 

“Di Universiti Malaya, kami percaya penyelidikan bukan sahaja perlu menghasilkan ilmu baharu, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat. Kerjasama dengan Eskayvie membolehkan kami menggabungkan kepakaran saintifik dan keupayaan penyelidikan universiti dengan inovasi serta keperluan industri. 

“Kami berharap kajian klinikal ini dapat menghasilkan bukti saintifik yang berkualiti, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan inovasi kesihatan yang lebih relevan dengan keperluan masyarakat,” katanya. 

Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh asas penyelidikan Mindtropic serta membuka ruang kepada kajian lanjutan dan penerbitan saintifik bagi menyokong pembangunan produk kesihatan tempatan. 

Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan daripada penubuhan Eskayvie Research & Innovation Centre, sebuah hab penyelidikan dan inovasi yang memberi tumpuan kepada kajian klinikal, pembangunan formulasi, pendidikan kesihatan awam serta penerokaan teknologi kesihatan baharu. Melalui pusat ini, Eskayvie berhasrat memperluas kerjasama dengan universiti, penyelidik dan pakar kesihatan di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan produk serta penyelesaian kesihatan berasaskan sains.

Last Update: Sep 29, 2026