

Profesor Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh, Profesor dari Fakulti Kejuruteraan yang juga Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Malaya telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Universiti Malaya 2026 di Majlis Anugerah Cemerlang Universiti Malaya (ACUM) 2026 yang disempurnakan oleh Canselor Universiti Malaya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Profesor Ir. Dr. Ramesh Singh merupakan tokoh akademik dan penyelidik bertaraf antarabangsa dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan bahan, dengan lebih 500 penerbitan ilmiah serta pengiktirafan konsisten dalam kelompok 2 peratus Saintis Terbaik Dunia. Berdasarkan AD Scientific Index 2026, beliau turut tersenarai dalam kelompok 0.15 peratus saintis terbaik di Malaysia dan 0.77 peratus terbaik di dunia, sekali gus membuktikan pengaruh penyelidikan beliau yang signifikan di persada antarabangsa.
Beliau turut mencatat pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai Felo The World Academy of Sciences (TWAS) 2026, satu pengiktirafan berprestij terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam penyelidikan dan inovasi kejuruteraan. Kepakaran dan dedikasi beliau bukan sahaja mengangkat nama Universiti Malaya di peringkat global, malah memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi dan pemacu inovasi negara.
Penganugerahan Tokoh Akademik Universiti Malaya diberikan kepada ahli akademik yang menunjukkan komitmen tinggi serta penglibatan berterusan dalam proses penemuan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembangunan negara, selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi yang memacu pembangunan masyarakat dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.
Selain itu, Pasukan Pemindahan Hati, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah menerima Anugerah Khas Universiti Malaya atas pencapaian cemerlang dalam bidang perubatan transplantasi serta sumbangan signifikan kepada kecemerlangan institusi dan negara. Pasukan multidisiplin yang ditubuhkan pada tahun 2017 ini mengendalikan kes transplantasi hati dewasa dan pediatrik yang kompleks serta berisiko tinggi.
Antara pencapaian utama pasukan ini ialah kejayaan melaksanakan pemindahan hati ke atas bayi berusia empat bulan dengan berat 6.2 kilogram, menjadikannya pesakit paling muda dan paling ringan dalam sejarah Malaysia yang menjalani prosedur tersebut. Kejayaan bersejarah ini mencerminkan kepakaran klinikal, kerjasama multidisiplin dan keupayaan Malaysia dalam mengurus kes transplantasi pediatrik berisiko tinggi.
Pencapaian ini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada pesakit dan keluarga, malah turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keupayaan perkhidmatan kesihatan negara serta mengangkat reputasi Universiti Malaya dan PPUM sebagai peneraju kecemerlangan perubatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Antara penerima anugerah khas - Silent Mentor Program oleh Fakulti Perubatan Universiti Malaya menerima pengiktirafan di bawah kategori Inisiatif Strategik Berimpak Tinggi atas sumbangannya dalam mentransformasikan pendidikan perubatan berasaskan nilai kemanusiaan dan etika profesional. Program hasil kolaborasi strategik antara Universiti Malaya dan Tzu-Chi University, Taiwan ini mengintegrasikan pendekatan pembelajaran holistik melalui penglibatan penderma tubuh atau Silent Mentors sebagai medium pembentukan doktor yang kompeten, berempati dan berintegriti.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, program ini telah mencatat impak signifikan melalui penglibatan ribuan peserta dan sokongan komuniti, termasuk pendaftaran penderma tubuh serta pelaksanaan bengkel latihan yang memberi manfaat kepada pelajar perubatan dan pengamal kesihatan. Inisiatif ini turut memperkukuh agenda penyelidikan menerusi penerbitan berimpak tinggi dan sokongan geran penyelidikan.
Selain itu, program ini terus berkembang melalui pembangunan latihan profesional, kerjasama strategik bersama pelbagai pihak serta usaha membangunkan garis panduan dan silibus pengajaran anatomi yang lebih inklusif dan mampan. Kejayaan ini memperkukuh kedudukan Universiti Malaya sebagai peneraju inovasi dalam pendidikan perubatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis ACUM 2026 turut menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin industri serta rakan strategik universiti dalam meraikan kecemerlangan warga Universiti Malaya. Penganjuran edisi kali ini menjadi lebih bermakna dan manis kerana berlangsung ketika Universiti Malaya menyambut ulang tahun ke-121, yang melambangkan lebih satu abad kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan serta khidmat bakti kepada masyarakat.
Majlis ini menyaksikan penganugerahan 52 anugerah kepada 64 individu, pusat penyelidikan dan badan korporat sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan serta sumbangan signifikan mereka kepada universiti.
