
Universiti Malaya (UM) diiktiraf sebagai universiti pertama melaksanakan penilaian Indeks Kecemerlangan Kualiti Pendidikan Tinggi (UMQEI) komprehensif oleh Malaysian Book of Records pada Hari Kualiti Universiti Malaya yang dianjurkan disini, hari ini.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, penganjuran Hari Kualiti ini mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam memperkukuh budaya kualiti dan penambahbaikan berterusan dalam kualiti pendidikan tinggi dan kecemerlangan institusi.
“Hari Kualiti Universiti Malaya dianjurkan sebagai platform institusi untuk meluncurkan sistem pengurusan kualiti baharu Universiti Malaya serta meraikan pengiktirafan Malaysian Book of Records yang diterima oleh Universiti Malaya bagi UMQEI dan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas pencapaian akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH).
“UMQEI adalah penting dalam menyediakan mekanisme yang tersusun dan telus untuk menilai kualiti institusi, membolehkan pembuatan keputusan berasaskan bukti serta penambahbaikan berterusan di seluruh universiti. Ia memberi manfaat kepada pihak berkepentingan utama termasuk kepimpinan universiti, fakulti dan pusat, pembuat dasar, serta rakan luar dengan menyediakan gambaran jelas mengenai prestasi, akauntabiliti, dan impak,” kata Profesor Azuan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri, pembangunan UMQEI bermula pada Disember 2022, diikuti fasa perintis dari Januari hingga Julai 2024, dan pelaksanaan rasmi pada 15 Ogos 2024. Pengiktirafan Malaysia Book of Records kemudiannya diluluskan pada 28 Februari 2025.
“Teras UMQEI ialah model berasaskan data dan indeks yang menghubungkan secara unik pemudah cara (sistem dan proses) dengan hasil (pencapaian institusi), membolehkan Universiti Malaya menilai secara langsung bagaimana amalan organisasi diterjemahkan kepada impak yang boleh diukur. Kerangka ini turut diperkukuh dengan penggabungan indikator utama daripada Malaysian Research Assessment (MyRA), sekali gus menyelaraskan kualiti institusi dengan penanda aras prestasi nasional.
“Gabungan UMQEI dan pencapaian MSQH oleh PPUM mencerminkan ekosistem kualiti bersepadu Universiti Malaya yang merangkumi pendidikan tinggi dan penjagaan kesihatan. Penyelarasan ini menunjukkan pendekatan institusi yang menyeluruh, di mana tadbir urus, sistem dan hasil dipacu secara konsisten oleh prinsip kualiti dalam persekitaran akademik dan klinikal,” katanya lagi.
Beliau berkata, PPUM pertama kali memperoleh akreditasi MSQH pada tahun 2012, menjadi hospital pengajar universiti awam pertama di Malaysia yang mencapai pengiktirafan tersebut, dan terbaru memperoleh akreditasi penuh selama 4 tahun pada tahun 2024 dengan jumlah standard perkhidmatan tertinggi dalam kalangan hospital universiti.
Universiti Malaya akan terus memperkukuh UMQEI dengan memperluaskan komponen Hasil bagi merangkumi indikator strategik tambahan merentas domain akademik, penyelidikan dan institusi, bagi memastikan kerangka kualitinya kekal komprehensif, berpandangan jauh dan selari dengan jangkaan nasional serta global yang sentiasa berkembang.
