
Universiti Malaya (UM) melalui Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) hari ini berjaya menganjurkan Program Advokasi Penjagaan Anak Autisme dan Pelancaran Modul Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak Autisme (MANJA) di Auditorium Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Program ini menandakan pelancaran rasmi Modul MANJA, sebuah modul berasaskan penyelidikan yang komprehensif dan praktikal bagi menyokong pengasuhan kanak-kanak autisme berumur 0 hingga 4 tahun.
Modul ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan dibangunkan hasil pembiayaan geran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. Turut hadir ialah Encik Patmanathan a/l R. Nalasamy, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya serta Profesor Dr. Ahmad Zabidi bin Abdul Razak, Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Datuk Che Murad Sayang, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat berkata, “advokasi penjagaan anak autisme amat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih cakna, berpengetahuan dan berempati terhadap keperluan golongan ini.
“Melalui usaha berterusan, ibu bapa, penjaga dan komuniti dapat diperkasa dengan kemahiran serta sokongan yang diperlukan untuk mengurus cabaran harian, sekali gus mengurangkan stigma dan salah faham terhadap autisme.
“Pendekatan ini juga menyumbang kepada pembentukan persekitaran yang lebih inklusif, selamat dan menyokong perkembangan potensi kanak-kanak autisme agar mereka dapat berkembang secara optimum dan menyumbang kepada masyarakat.”
Sementara itu, Profesor Dr. Ahmad Zabidi bin Abdul Razak berkata, “Universiti Malaya komited menyokong agenda inklusiviti negara sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. Pembangunan Modul MANJA dengan sokongan kerajaan mencerminkan usaha bersepadu dalam memperkukuh ekosistem sokongan kepada kanak-kanak autisme.
“Modul ini bukan sahaja berasaskan penyelidikan, malah direka secara praktikal untuk membantu pengasuh, pendidik dan ibu bapa menyediakan penjagaan yang lebih responsif dan inklusif.”
Pelancaran Modul MANJA menonjolkan pendekatan berasaskan neurodiversiti yang memberi penekanan kepada kekuatan dan keunikan kanak-kanak autisme, di samping memberi fokus khusus kepada intervensi awal bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 4 tahun yang merupakan satu jurang kritikal dalam landskap penjagaan awal di Malaysia.
Program ini turut menyaksikan penyerahan rasmi modul kepada pihak JKM, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan yang lebih meluas di seluruh negara termasuk di TASKA dan komuniti.
Inisiatif ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara universiti, agensi kerajaan, profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa dalam memperkukuh ekosistem sokongan kepada kanak-kanak autisme.
Seramai 250 hingga 300 peserta telah menyertai program ini, terdiri daripada pengasuh TASKA, pendidik awal kanak-kanak, ibu bapa, pegawai kebajikan, ahli akademik serta wakil NGO.
Program ini turut diisi dengan forum advokasi yang menghimpunkan pelbagai perspektif daripada ahli akademik, pengamal klinikal, wakil NGO dan ibu bapa, selain perkongsian strategi penjagaan praktikal.
Selaras dengan pendekatan inklusif yang diketengahkan, penganjuran program ini turut menyediakan kemudahan seperti calm room dan aktiviti mesra autisme, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pelaksanaan inklusiviti secara menyeluruh.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam memperkasakan masyarakat melalui penyelidikan berimpak tinggi serta menyokong agenda pembangunan mampan, khususnya Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Mengurangkan Ketaksamaan (SDG 10).
Dengan pelaksanaan Modul MANJA, diharapkan lebih ramai pengasuh, ibu bapa dan pendidik akan dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran bagi menyediakan pengasuhan dan penjagaan yang responsif, inklusif dan bermakna kepada kanak-kanak autisme di Malaysia.
