corporate@um.edu.my                   

WIRA API, WIRA SENYUMAN: PROJEK FORCE UM BAWA PENJAGAAN PERGIGIAN TERUS KE BALAI BOMBA

Lawatan tapak bersama Prof. Dr. Zamros Yuzadi Mohd Yusof, Penyelia Projek, dan ahli pasukan projek dengan Tn. Syed Shahril Anuar bin Syed Sulaiman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya serta anggota bomba untuk mengenal pasti isu utama dan keperluan kesihatan mulut sebagai asas perancangan intervensi.


Mereka berlari ke arah bahaya ketika orang lain menyelamatkan diri, namun siapakah yang menjaga kesihatan mereka yang melindungi kita? Di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, sebuah projek komuniti yang diterajui Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa kesiapsiagaan anggota bomba bukan sahaja bergantung pada kekuatan fizikal, tetapi juga pada satu aspek yang sering diabaikan, iaitu kesihatan pergigian. Melalui projek Firefighter Oral Resilience and Champion Empowerment atau FORCE, anggota bomba menerima pendidikan penjagaan kesihatan pergigian, rawatan pergigian asas, bimbingan gaya hidup sihat, dan transformasi persekitaran ke arah konsep “Balai Bomba Sihat”, yang dirancang berdasarkan realiti kerja syif.

 FORCE dilaksanakan dari 20 Januari hingga 22 Mei 2026 oleh pelajar pascasiswazah yang mengikuti program Doctor in Dental Public Health, di Jabatan Kesihatan Pergigian Masyarakat dan Pencegahan Klinikal, Fakulti Pergigian, UM. Projek ini diselia oleh Prof. Dr. Zamros Yuzadi Mohd Yusof dan diketuai oleh Dr. Navissha Devi Thivyakumar. 

 FORCE dibangunkan berdasarkan keperluan unik para anggota bomba dan disesuaikan dengan beban tugas mereka, termasuk tugasan kecemasan yang tidak menentu, tekanan kerja yang tinggi, pendedahan kepada haba dan asap, risiko dehidrasi, serta waktu makan yang tidak teratur. Cabaran pekerjaan ini boleh menyukarkan penjagaan kebersihan mulut secara rutin, pemakanan sihat dan akses kepada rawatan pergigian.

 Keperluan untuk projek ini terlihat jelas apabila penilaian awal terhadap 47 anggota bomba mendapati bahawa lebih daripada 90 peratus memerlukan rawatan pergigan, dengan 31.9 peratus memerlukan rujukan untuk rawatan lanjut, dan lebih daripada 60 peratus memerlukan pengukuhan pendidikan penjagaan kesihatan pergigian.

 FORCE menangani keperluan tersebut melalui pakej intervensi menyeluruh yang dilaksanakan terus di balai bomba, merangkumi pemeriksaan dan pendidikan kesihatan pergigian, rawatan melalui Klinik Pergigian Bergerak UM (bas), intervensi pemakanan dan merokok/ vape, serta intervensi persekitaran seperti penyediaan sudut memberus gigi. Anggota bomba terpilih turut dilatih sebagai Dental Champion, menjadi agen perubahan bagi kemampanan projek melalui aktiviti promosi berterusan.

 Hasil awal yang diperoleh amat menggalakkan. Anggota bomba menunjukkan peningkatan signifikan untuk pengetahuan penjagaan kesihatan pergigian dan amalan pencegahan seperti penggunaan flos gigi, memberus gigi sebelum tidur dan pemeriksaan pergigian berkala. Selain itu, 92.1 peratus peserta menyatakan bahawa FORCE telah membantu mereka memahami status dan risiko kesihatan pergigian diri sendiri. Peserta turut menyatakan keyakinan untuk mengamalkan penjagaan kesihatan pergigian semasa bertugas dan 100 peratus menyokong kesinambungan program sebagai inisiatif Balai Bomba Sihat.

 Tambahan pula, perubahan tingkah laku positif turut dicatatkan, termasuk pengurangan merokok/ vape dan kesediaan mendapatkan sokongan berhenti, peningkatan kebersihan mulut dan pengambilan air kosong, serta pengurangan pengambilan minuman bergula.

 Pelaksanaan FORCE diperkukuh melalui kerjasama strategik antara Fakulti Pergigian UM, Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Klinik Pergigian UM, Jabatan Dietetik Pusat Perubatan UM, Klinik Berhenti Merokok Kuala Lumpur serta Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Petaling. Sokongan rakan industri daripada Enhance Dental Group Sdn. Bhd. dan Haleon Malaysia Sdn. Bhd. turut diterima dalam bentuk penyediaan berus dan ubat gigi bagi menyokong kesinambungan program.

 Kejayaan FORCE akan diraikan dalam majlis penutupan pada 7 Julai 2026 di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, melibatkan tetamu kehormat serta wakil pemegang taruh. Majlis ini penting untuk meraikan peserta yang menunjukkan perubahan positif, serta rakan kolaborasi yang membantu menjayakan projek ini. Dental Champion juga akan dihubungkan secara rasmi dengan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Petaling melalui program Ikon Gigi bagi memperkukuh kemampanan.

 Model ini selari dengan Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022–2030 melalui usaha meningkatkan akses, pencegahan, kerjasama strategik dan pemerkasaan komuniti secara mampan.

 FORCE membuktikan bahawa universiti, perkhidmatan bomba, agensi kesihatan dan rakan industri boleh bekerjasama untuk membina pasukan barisan hadapan yang lebih sihat dan berdaya tahan. Perlindungan kesejahteraan negara bermula dengan melindungi kesihatan para pekerja yang berkhidmat demi kesejahteraannya.

 

Gambar-gambar aktiviti.

Bengkel interaktif menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat, pengurangan pengambilan gula, berhenti merokok, dan amalan kesihatan mulut yang lebih baik melalui aktiviti pendidikan yang menarik.

Peserta menjalani saringan kesihatan mulut yang komprehensif meliputi pemeriksaan gigi (dental charting), penilaian kesihatan gusi (BPE), penilaian plak, serta rawatan pencegahan dan rawatan asas menggunakan Klinik Pergigian Bergerak, Universiti Malaya.

Demonstrasi penyediaan makanan bagi menggalakkan tabiat pemakanan yang lebih sihat serta pengurangan pengambilan gula dan garam.
 

Intervensi bagi menggalakkan anggota untuk berhenti tabiat berisiko seperti merokok/vaping bagi meningkatkan kesiapsiagaan anggota ketika bertugas.

 

Last Update: Jul 17, 2026